Header Ads

LightBlog

Perhimpunan Akbar Keluarga Yang Pertama


TAIPING 15 Dis. - Kira-kira 1,200 ahli keluarga keturunan Haji Rais dan Haji Raof berkumpul sempena sambutan Hari Raya Korban di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Kamunting di sini baru-baru ini.

Perhimpunan keluarga besar yang pertama kali dianjurkan itu bertujuan merapatkan hubungan persaudaraan dan menemukan semula rantaian keluarga berkenaan dari seluruh pelosok negara termasuk Indonesia.

Majlis yang berlangsung mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang itu diadakan dalam suasana penuh kemesraan dengan memberi kesempatan sebilangan daripada mereka yang tidak pernah bertemu saling mengenali.

Pencatat salasilah keturunan Haji Rais dan Haji Raof, Zulkifli Zahari, 48, berkata, semua ahli keluarga yang berkumpul hari ini merupakan keturunan Haji Rais dan Haji Raof dari generasi ketiga sehinggalah kelapan.

''Usaha mengumpul rantaian keturunan ini sudah lapan tahun diusahakan dan akhirnya menjadi kenyataan pada hari ini.

''Kita mengambil masa yang lama untuk mengadakan majlis ini kerana perlu menjejaki keturunan Haji Rais dan Haji Raof yang berada di seluruh Malaysia serta Indonesia," katanya ketika ditemui di Dewan MPT Kamunting di sini baru-baru ini.

Menurut Zulkifli, ahli keluarga yang berkumpul hari ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan paling tua berusia 94 tahun iaitu Jamali Habib. Antara keturunan Haji Rais dan Haji Raof yang berjaya dan dikenali ialah Orang Besar Perak 32, Datuk Mohd. Zailani Jamali; bekas Yang Di pertua Majlis Perbandaran Teluk Intan, Datuk Nor Ariffin; Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd., Datuk Mohd. Khamil Jamil dan Ahli Lembaga Pengarah Chemical Company of Malaysia (CCM), Datuk Seri Mohd. Hussaini Abdul Jamil.

Mengikut asal usul, kata Zulkifli, moyang mereka iaitu Haji Rais dan Haji Raof berasal dari Pulau Jawa, Indonesia yang kemudian berhijrah ke negara ini. Mengenai perhimpunan hari ini, beliau berkata, ia sengaja diadakan sehari selepas sambutan Hari Raya Aidiladha kerana ingin memudahkan semua sanak saudara berkumpul.

''Kebanyakan keturunan Haji Rais dan Haji Raof berasal dari Kamunting. Jadi, ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Korban dan kesempatan itu digunakan untuk mengumpulkan mereka," katanya.

Sementara itu, Jamali ketika ditemui memberitahu, dia gembira berpeluang bertemu dan berkenalan dengan sanak saudara yang datang dari serata Malaysia dan Indonesia seperti Acheh, Bandung serta Jakarta.

''Syukur kerana dalam usia begini saya berpeluang bertemu dan mengenali keturunan saya. Majlis bersejarah seperti ini tidak pernah termimpi oleh saya sebelum ini," katanya.



No comments

Galeri

Di bawah ini adalah galeri imej dari semua posts yang tersaji di blog ini. Selain sebagai galeri, panel ini juga berfungsi sebagai jalan pintas untuk mengakses semua post, cukup dengan satu klik pada masing-masing imej. Scroll-down untuk melihat seluruh posts, atau pilih kategori post berdasarkan tombol-tombol pilihan yang tersedia. Semoga bermanfaat!